Thursday, 25 August 2011

Mana Mak??

~Kisah ini adalah kiriman email sepupu saya. Sangat menyentuh hati sesiapa yang membacanya. Semoga dapat manfaat.~

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian,
Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak?" Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya "Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. "Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?"

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Friday, 19 August 2011

Sujud..

~Kalau hari ini kita suka untuk sujud kepada Allah, maka di hari Allah menzahirkan Dzatnya kita akan dapat sujud kepada Allah~

Monday, 15 August 2011

Redha Allah..

Selalu sangat manusia sibuk memikirkan apa kata manusia. Terutama sekali apabila kita nak buat satu perkara baik atau pun satu perubahan pada diri. Tapi jarang sekali kita memikirkan apa yang Allah kata kalau kita buat benda tu.


 "Carilah redha Allah dengan marahnya manusia, nescahya Allah akan bersamamu,
 tetapi jika kamu mencari redha manusia denga marahnya Allah nescahya Allah akan jauh darimu".





Sunday, 7 August 2011

Apa Yang Kita Lihat dan Dengar Akan Mempengaruhi Hati..

Saya bercakap melalui pengalaman yang telah saya lalui. Dirumah saya tiada radio, jadi kami memang jarang-jarang sekali mendengar radio kecuali radio yang disediakan didalam saluran astro. Itupun terlalu jarang sekali kami membukanya. Mungkin disebabkan itu kami jadi orang tidak tahu dan tidak suka mendengar dengan lagu-lagu melayu yang lagha dan tidak mempunyai makna kecuali lagu-lagu berunsur nasyid.


Sebenarnya apa yang kita dengar dan lihat akan mempengaruhi hati kita. Maksudnya disini, kalau kita seorang yang suka dengar perkara-perkara yang lagha terutamanya lagu-lagu yang lagha maka hati kita akan dipengaruhi. Sebab itu lah orang-orang yang mendengar benda-benda begini kita boleh lihat dia susah nak buat amal. Kerana hatinya dipenuhi dengan benda yang tidak baik. Sama juga jika kita suka melihat benda-benda kotor atau maksiat ianya akan turun kepada hati dan seterusnya akan menjadikan kita seorang hamba yang biasa-biasa sahaja. Mungkin kita akan solat tetapi keislaman kita hanya setakat solat, puasa dan zakat sahaja. Sedangkan islam bukan tentang 3 perkara itu sahaja. Terutama sekali kepada wanita-wanita dan lelaki-lelaki yang tidak menjaga pandangan. Hari ini kita disajikan dengan pelbagai bentuk rancangan-rancangan yang lagha sehingga rancangan yang dikatakan berbentuk islamik juga diselitkan dengan perkara-perkara maksiat.


Tetapi sebaliknya jika kita seorang yang suka mendengar dan melihat perkara yang baik-baik seperti tazkirah, lagu-lagu ketuhanan yang mendekatkan lagi diri dengan Allah, dzikir, rancangan-rancangan keagamaan, menundukkan pandangan dan sebagainya maka kita akan dapati senang dan ringan untuk melakukan ibadah.

Saya menulis melalui pengalaman dan sememangnya saya melaluinya bulan lepas semasa bekerja secara sambilan. Setiap hari didengarkan dengan lagu-lagu yang lagha sehingga saya rasa lalai dan malas dalam beribadah. Semoga selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

~Peringatan ini buat diri saya dan sahabat-sahabat yang membacanya~
Semoga kita sama-sama dapat beramal!!insyaAllah..


~setitik hitam jika tidak dibersihkan,
lama-kelamaan akan mengotori hati kita~

Friday, 5 August 2011

Kesalahan-Kesalahan di Bulan Ramadhan..

Minggu lepas ada ceramah sempenana kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Penceramahnya ialah Ketua Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka. Intipati yang saya dapat dari ceramah tersebut ialah tentang kesalahan-kesalahan yang biasa dibuat di bulan Ramadhan.

Kesalahan-kesalahan:-

1.  Tidak mendirikan solat.
2.  Tidah mengetahui hukum-hakam berpuasa.
3.  Tidak menjaga batas pergaulan.
4.  Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya.
5.  Melambatkan waktu berbuka.


Salam Ramadhan Karim..Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas.~amin~

Saturday, 30 July 2011

Muhasabah Diri..

"Pada malam mi'raj, aku (Nabi s.a.w) menyaksikan suatu kaum yang bibirnya di sayat dengan gunting dari api neraka. Kemudian aku bertanya kepada mereka, Siapakah kalian?

Mereka menjawab, "Kami adalah orang-orang yang menyuruh kepada kebaikan, tetapi kami sendiri tidak melakukannya dan kami melarang orang lain berbuat kejahatan tetapi kami sendiri yang mengerjakan kejahatan itu."

"Megapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebajikan tetapi kamu melupakan itu bagi dirimu sendiri."(Qs al-Baqarah 2:44)

"Amat besar ketidaksukaan Allah, jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu lakukan." Qs as-Shaff 61:3)

Friday, 29 July 2011

No Love Until Akad..


Pernah seketika dulu saya rasa saya tak berguna..
Masa dalam kelas kawan-kawan semua tak suka..
Saya nak 'join', kawan kata saya menyibuk..
Ada pula yang kata saya kuat emo..
Sikit-sikit nak marah..
Padahal sebenarnya saya nak tegur mereka buat bising masa belajar..

Lepas tu saya cuba buat lawak kononnya nak tarik perhatian orang lain. Saya paling gembira bila ada orang gelak bila dengar lawak saya terutamanya pelajar-pelajar perempuan. Budak lelaki semua kata saya 'mat capub'(cari publisiti) tapi saya tak kisah, asalkan ada yang terhibur. Tapi saya tetap merasakan kekosongan. Memang lumrah manisia, seseorang lelaki akan tertarik kepada wanita. Macam itu lah yang saya rasa. Saya tengok kawan-kawan saya dah ada yang couple. Di dorm sms awek sampai pagi dan ada yang call sampai awek sampai satu malam boleh habis RM10. Saya mula berfikir..

"Adakah aku perlu BERCINTA?"

Dengan menggunakan akal seorang pelajar tingkatan 4 itu saya pun mula menanam tekad untuk bercouple. Dan masa itu lah saya kenal awak. Seorang muslimah bertudung labuh, yang menjadi gadis idaman saya. Saya rasa saya dah jumpa orang yang paling penting dalam hidup saya. Mula-mula awak jual mahal, tapi saya tak kisah saya nak beli gak. Akhirnya dipendekkan cerita saya pun mulalah BERCINTA. Masa bercinta, memang saya sangat-sangat bersemangat. Apa orang kata 'ALL OUTLAH". Saya selalu call awak, awak pun selalu call saya. 'Gayut' malam-malam sampai kadang-kadang saya pun habis RM10 satu malam. Tetapi segala pengorbanan yang dilakukan masa bercouple itu tidak terasa pun kehilangannya. Masa bercinta memang indah, semuanya indah. Sikit-sikit gurau-gurau, sikit-sikit gelak-gelak, kalau merajuk main pujuk-pujuk. Kalau birthday kita sambut sama-sama.

Untuk diri ini terasa amat bahagia, sebab masa itulah terasa diri dihargai. Saya pernah berfikir biarlah kawan-kawan saya tu pandang semacam, kata saya macam-macam asalkan awak memahami saya.
Satu hari saya dengar ceramah, alhamdulillah dalam ceramah tu saya sedar saya banyak buat dosa dan saya kena berubah. Hidup saya mesti selari dengan islam. Saya kena jadi baik, sebab itu memang fitrah manusia iaitu menginginkan kebaikan. Semua orang nak masuk syurga kan? Sejak dari saat itu saya mula merapatkan diri dengan masjid., selalu solat jemaah di awal waktu dan selalu dengar tazkirah. Saya beli terjemahan al-Quran, sebab nak tadabbur Quran. Saya beli dua, satu untuk saya dan satu untuk awak. Saya tak nak jadi baik seorang diri, jadi saya ajak awak sekali. Saya ajak awak baca al-Quran, saya kejut awak bangun subuh(calling) dan saya ajak awak saling beri tazkirah. Mula-mula awak terkejut dengan perubahan saya. Awak ingat saya dah nak jadi alim dan nak berhenti couple. Saya kata, kita bukan buat benda yang salah, bercinta kerana Allah.

KITA COUPLE "ISLAMIC"


Kita couple tak macam orang lain. Orang lain couple 'jiwang-jiwang' je. Ada yang siap buat maksiat lagi, pegang-pegang tangan dan macam-macam lagi. Tapi kita couple baik-baik, jaga batas-batas syara', tak guna ayat jiwang-jiwang, janji tak nak jumpa, takut berlaku maksiat. Cuma sms dan call je, dan awak terima perubahan saya itu. Saya pun banyak nasihat awak dan awak pun menerima walaupun kadang-kadang awak merajuk sebab teguran saya tu. Tapi saya faham, perubahan memerlukan masa. Dan akhirnya saya rasa hubungan kita semakin diredhai. Saya selalu doa supaya kita akan kekal sampai ke gerbang perkahwinan.
Dalam proses perubahan saya, saya mula menyedari bahawa berdakwah itu wajib. Kita kena menyampaikan kepada orang tentang kebenaran. Kalau kita tidak berdakwah, kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak sesuai dengan firmanNya dalam surah al-A'raf, surah ke 7, ayat ke 164 : Dan (ingatlah) ketika suatu umat diantara kamu berkata "Mengapa kamu mansihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mangazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan
supaya merka bertakwa".

 Lepas tu saya mulalah beri tazkirah pada kawan-kawan dan adik-adik. Tegur mereka apa sahaja yang silap, saya tak boleh tahan bila tengok orang buat salah atau dosa saya mesti nak tegur. Selemah-lemah iman tegur dengan hati, oleh sebab saya nak jadi orang yang kuat iman apa lagi tegur je lah depan-depan.

"COUPLE HARAM"

Saya tak percaya, tapi bila saya baca detail-detail yang dia bagi macam betul pulak. Tapi biasa lah kalau kita suka satu benda tu kita tetap akan cari alasan untuk 'membenarkan' pendapat kita. Saya pun buat tak tahu pasal benda tu dan teruskan saja hubungan kita. Kita tak buat maksiat, kita tak jalan pegang-pegang tangan, tak jiwang-jiwang, cuma ambil berat, tanya khabar, borak-borak siap bagi takzkirah lagi. Jadi apa yang haramnya dengan couple?

Tak kisahlah, masa terus berlalu. Masa ni dah nak dekat trial SPM. Lagi tiga minggu sebelum trial saya memang rajin study dengan kawan buat study group. Pada masa yang sama, bagi tazkirah. Ada yang terima dan ada juga yang buat-buat tak tahu. Kadang-kadang bila tegur saya kena marah pula. Macam-macam alasannya kata saya tegur tak berhikmah. Ada yang kata saya menunjuk-nunjuk je. Tapi tak kisahlah, saya ada tempat mengadu. Suatu masa ketiak sedang mentadabbur al-Quran seorang diri saya terjumpa ayat ni.

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab(Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?

Saya pun terfikir..

"Selama ini aku asyik tegur orang je. Tapi aku sendiri masih banyak kekurangan. Cepat marah, suka buang masa, ada juga dosa-dosa yang masih dilakukan. Macam mana ya?"

Lepas tu jumpa pula ayat ni..
Dan janganlah kamu campur adukkan yang haq dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu, sedang kamu mengetahui. (al-Baqarah ayat 42)

Tiba-tiba saya terfikir satu kritikan kawan. "Alah kau tu cakap je berapi, gaya alim, tapi couple gak. Sama aja kau dengan kami, tegur orang konon."

Berfikir sejenak..

Sebenarnya bercouple ni boleh ke tidak? Adakah selama ini saya hanya menganggap ia boleh? Habis tu, kenapa saya rasa malu bila mak dan ayah tahu saya berhubung dengan perempuan? Dan terkadang saya rasa serba salah? Macam-macam yang saya fikir. Dipendekkan cerita lagi sekali, saya ke Pulau Pinang untuk mengikuti seminar dakwah. Saya harap dengan seminar ini kefahaman saya mengenai dakwah akan lebih mantap. Dalam perjalanan ke seminar itu, saya masih sms lagi dengan awak dalam bas. Sempat lagi pesan-pesan supaya jangan lupa baca al-Quran hari ini dan solat di awal waktu. Dalam fikiran saya, "Ni kira dakwah juga,saling ingat mengingati".Majlis malam itu berakhir dengan sesi ta'aruf, pukul 10 semua orang dah bebas utnuk aktiviti sendiri. Tiba-tiba saya tergerak hati untuk bertanya dengan fasilitator yang ada di situ. Saya rasa ini lah masa terbaik untuk bertanya pendapat dia tentang couple. Tapi saya rasa teragak-agak, “Kalaulah couple tu salah, habis tu macam mana? Aku kena clash ke? Alah, buat apa fikir macam tu. Tanya je lah. Kalau tak buat salah, apa nak ditakutkan?” Lalu saya menghampiri ‘Brother’ fasilitator tu. Masa tu dia tengah membelek-belek terjemahan al-Qurannya seorang diri.

“Assalamualaikum bang, saya nak tanya sikit boleh?”
“Em, boleh duduklah. Nta nak tanya apa?”
“Er..macam ni, sebelum saya terlibat dengan dakwah ni, saya ada kenal seorang kawan ni, perempuan lah. Tapi bukan setakat kawan biasa, rapat gak lah. Bukan rapat biasa, tapi rapatlah”.

“Bercinta ke?

Saya malu nak cakap yang saya couple. Nanti apa pula brother tu kata, mesti dia marah nanti. Saya pun angguk, lepas tu saya tanya..

“Sebenarnya..couple ni boleh ke tak bang?”

“Akhi, memang fitrah manusia lelaki akan tertarik kepada perempuan, begitu juga perempuan akan tertarik kepada lelaki. Tapi dalam islam, perasaan itu perlu dikawal dan ada batasnya. Pergaulan perlu dijaga. Allah berfirman dalam surah al-Isra’, surah ke-17, dalam ayat yang ke-32: Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

“Tapi bang, saya tak nampak pun kami ni mengahampiri zina. Niat kami baik. Saya dah cuba sedaya upaya mengawal perhubungankami. Sms pun takdelah jiwang-jiwang, selalu bagi tazkirah lagi. Kami selang-selang bagi, hari ni saya besok dia.”

Saya tak mahu mengalah.

“Memang betul niat nta baik. Tapi ingat niat tak pernah menghalalkan cara. Yang batil tetap tetap sahaja batil, yang haq tetap haq. Cuba tengok ayat ni.”

Sambil brother tu  bukak al-Quran dia, dan tunjuk pada saya ayat ini : Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan setan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan meraka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia mengahalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam. (surah al-Ankabut, surah 29, ayat 38).

“Akhi, kalau nta paham ayat ni, sebenarnya apa yang berlaku pad anta ialah, setan telah buat nya pandang indah benda buruk yang nta lakukan. Walaupun nta berpandangan tajam, maksudnya nta berilmu tinggi. Memang pada mulanya niat nta baik, tapi ingat, syaitan itu sangat licik. Dia akan sedaya upaya buat nta terjerumus kedalam kemaksiatan. Lagipun, takkanlah sepanjang masa nta sms dengan dia, nta ingat Allah. Mesti nta hanya melayan perasaan dengan dia, kan?” Betul juga katanya. Lepas tu saya kata, “Tapi bang, saya dah janji denga dia taknak jumpa lagi sebab saya tahu kalau jumpa nanti banyak bahayanya. Dan dia pun setuju. Kami sama-sama menjaga diri. Takkan lah ia boleh membawa kepada zina juga bang?”

“Em, betul nta dah janji tak nak jumpa dengan dia lagi. Nta dah dapat mengelakkan zina mata, zina tangan, zina kaki. Kalau nta janji tak nak call dia  pula, nta dapat elakkan zina teligan dan zina lidah. Tapi akh, masih ada zina yang tetap nta tak dapat elak apabila bercouple..”

“Zina hati?” Saya menduga.
“Betul, zina hati. Semua ini lah yang Rasulullah jelaskan dalam hadithnya tentang bagaimana  menghampiri zina tu. Nta boleh check dalam Riyadahus Solihin, bawah bab larangan melihat wanita. Rasulullah bersabda, mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan kea rah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia. Hakikatnya, macam manapun nta buat, nta tetap tak dapat lari daripada zina hati.”

Saya terdiam.. kelu. Tak tahu apa nak kata. Semua yang brother tu kata tiada salahnya. Kemudian dia sambung..“Ana dulu pun couple gak. Lagi lama dari nta. Sejak sekolah sampai dah masuk U, dekat nak gred. Tapi bila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana terus tinggalkan. Ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana yang akan jagi ibu kepada anak-anak ana. Kalau nak diikutkan lagi besar masalah ana daripada nta.”

“Saya risau lah bang. Nanti apa kata kawan-kawan dia. Dulu saya selalu minta tolong merka untuk rapat dengan dia. Mesti nanti mereka semua tak puas hati dengan saya. Dan dia sendiri pula, saya takut apa-apa akan jadi pada dia kalau dia tak dapat terima keputusan ini. Sebab kami dah rapat sangat.”

Masa tu saya dah mula sebak. Malu betul. Menangis depan Brother tu cerita pasal benda ni. Nasib baik tak ada orang lain masa tu. Brother tu jawab. “Kalau kawan-kawan dia tak puas hati pun, mereka boleh buat apa? Paling teruk pun, mereka akan mengata di belakang anta. Anta tak kurang sikit pun. Lagi pun dalam berdakwah ni, kita nak cari redha Allah biarlah orang nak kata apa-apa pun. Yang penting redha Allah. Kalau Allah tak redha, semuanya dah tak bermakna lagi.”

Saya terdiam lagi.

“Pasal dia pula, cuba fikir dari sudut positif, mungkin dia akan terima keputusan anta secara matang. Mungkin dia juga akan buat keputusan untuk tidak lagi bercouple. Ana yakin, dia takkan buat apa-apa perkara bodoh. Kalau dia buat kesilapan sekalipun, itu bukan tanggungjawab anta. Apa yang anta nak buat tu betul, meninggalkan maksiat. Semua orang akan tanggung balasan atas perbuatan sendiri.”

Saya dah tak dapat tahan lagi. Masa itu saya menangis, saya dah sedar saya kena berhenti couple. Dah jelas sekarang, couple itu haram.

“Jadi apa saya nak buat bang?”

“Ana dulu, hantar satu sms je kat dia. Ana terangkan pada dia hubungan yang dibina tu salah. Minta maaf, kita berakhir di sini. Tolong jangan cari saya lagi.  Lepas itu ana terus tuakr nombor. Ana tak hubungi dia langsung lepas tu.”
“Maksudnya, saya tak boleh hubungi dia lagi ke? Tapi bang, saya ada juga kawan perempuan lain boleh pula saya hubungi mereka?”

“Dengan dia ni lain. Anta dah pernah ada ‘sejarah’ dengan dia. Tapi, kalau nanti ditaqdirkan anta satu universiti dengan dia, satu kuliah, lepas tu kena pula buat group discussion, masa tu anta hanya layan dia sebagai group discussion partner.”
Tiba-tiba saya terfikir..

“Dia ni nak suruh aku clash malam ni gak ke? Sekarang gak? Takkanlah awal sangat?”

Saya cakap..
“Saya rasa saya belum ada kekuatan lah bang. Boleh tak saya tunggu sampai saya ada kekuatan, baru saya tinggalkan benda ni?” Saya ingat nak lari lah. Lalu dia jawab..

“Akh, anta kena ingat. Kekuatan itu tidak boleh ditunggu, tapi ia perlu dibina. Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah keadaannya sendiri. Anta boleh rujuk surah ar-Ra’du, surah ke 13, ayat 11. Lagipun anta nak tunggu sampai bila baru nak tinggalkan couple ni..abang-abang fasilitator ni pun ramai yang pernah couple, bila masuk dakwah mereka tinggalkan.”

Alamak..tak boleh lari lagilah nampaknya, saya rasa macam brother ni paksa saya clash masa tu juga.
“Semuanya dah jelas rasanya. Nampaknya saya kena tinggalkan benda ni gak ye. Macam tak larat rasanya nak tekan button handphone ni. Rasa tak sanggup.”

“Kalau tak sanggup mari ana tolong tekankan.”

“Eh, tak apalah bang. Biar saya taip sendiri.”

Teragak-agak saya nak taip masa tu. Tapi saya gagahkan juga diri. “Semuanya dah jelas.. Buat apa aku tangguh-tangguh lagi. Takut nanti hidayah ni Alla tarik, susah pula nak tinggalkan. Kan aku selalu doa supaya dijauhkan dari maksiat..jadi rasanya, inilah masanya. ”Lalu perlahan-lahan saya taip sms tu..

“Assalamualaikum..Sebenarnya selama ini hubungan kita salah di sisi Islam. Saya ingat dengan mengubah cara pergaulan kita, ia dah dibolehkan, tapi sebenarnya ia tetap berdosa. Saya harap awak akan istiqamah meneruskan perubahan yang awak dah buat, kerana Allah. Saya minta maaf atas segala yang dah berlaku. Kalau ada jodoh insya-Allah, akan bertemu juga. Asslamualaikum..”
Berat betul nak hantar sms tu kat awak. Saya masih tak mampu nak ucap selamat tinggal. Sebab tu dalam sms tu saya hanya akhirkan dengan ucapan salam. Lepas beberapa ketika..saya tekan juga button

[send].

Lepas tu tertera di skrin..

[SENDING]
[MESSAGE SENT]

Masa tu saya rasa macam separuh hidup saya dah hilang. Macam tak percaya..saya dah hantar 1 sms, dan clash dengan awak..

“Terima kasih bang..”

“Takpe..dah tanggungjawab..”

Malam tu saya tidur dengan linangan air mata..tak sangka..memang tak disangka.. Saya memang tak pernah terfikir untuk clash, tapi itulah yang terbaik untuk kita sebenarnya. Tiba-tiba saya teringat ayat Allah..surah al-Baqarah, ayat 216. Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Masa terus berlalu, saya terus disibukkan dengan kerja-kerja lain. Dalam usaha nak lupakan awak bukan senang, tapi saya terus cuba. Saya selalu bagi tazkirah, ingatkan orang. Saya bagi ta’lim di masjid, terangkan pada orang couple haram, tunjuk segala dalil. Macam-macam yang berlaku, ada kritikan, ada juga yang setuju, tapi tak kisahlah semua itu. Tiba-tiba satu pagi ni, dapat sms dari awak, awak bagi gambar bunga. Bawah tu ada ayat..

“Seindah gubahan pertama..”

Saya rasa awak masih tak dapat lupakan saya. Saya pun fikir, kena tegas rasanya”. Lepas tu saya hantarlah sms ni. Dan rasanya itu lah yang terakhir.

“Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredhaan Ilahi, seindah manapun gubahan pertama tu selagi tak mendapat keredhaanNya tetap tiada gunanya.”

Assalamualaikum..saya tau dulu saya cakap, kalau ada jodoh insya-Allah akan bertemu juga. Tapi saya tak nak awak tunggu. Lupakan saya. Biar Allah yang menentukan. Lagi satu..

Jangan cari cinta manusia,
Ia penuh dengan penipuan,
Kekecewaan,
Dan tak kekal..

Tapi carilah cinta Allah,
Tiada penipuan,
Tidakkan pernah mengecewakan,
Itulah cinta yang abadi..
Cinta yang diredhai..
~Yang Terakhir~”

[SEND]
[SENDING]
[MESSAGE SENT]

Saya dah buat keputusan dan saya pasti apa yang saya buat ni betul. Saya yakin Allah akan sediakan yang terbaik untuk saya. Saya yakin takkan berpatah balik.

Takkan..buat selama-lamanya.



sumber : unit penerbitan JPA Politeknik Johor Bahru